Dengan izin Allah S.W.T, akhirnya diberi peluang kepada penulis untuk mengemaskini laman web surau BPV ini setelah hampir sebulan lebih penulis tidak berpeluang untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan usaha kita.
Dalam tempoh ini, penulis dan beberapa orang AJK terpaksa meluangkan sedikit masa, tenaga dan buah fikiran bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang mana jika difikirkan kembali merupakan dugaan dan ujian yang Allah S.W.T berikan kepada kita. Dugaan demi dugaan muncul di saat kita cuba mempercepatkan usaha membangunkan surau di taman perumahan kita tetapi kita hanya mampu merancang, Allah S.W.T jua yang menentukan segalanya.
Alhamdulillah, walaupun isu-isu berbangkit tersebut masih belum dapat diselesaikan 100% tetapi sekurang-kurangnya, usaha menyelesaikan masalah tersebut makin mendapat sokongan dan bantuan dari ramai pihak sepertimana sokongan yang diberikan kepada usaha pembinaan surau ini. Semoga Allah S.W.T jua yang membalas jasa tuan-tuan dan puan-puan.
Berbalik kepada usaha pembinaan surau BPV, buat masa ini kita telah lari dari jadual kerja asal yang telah ditetapkan. Kita masih menunggu surat pengesahan tapak surau dari pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) walaupun sudah beberapa kali kita membuat follow up dengan pihak yang berkaitan tentang surat pengesahan tapak tersebut. Buat masa ini, kita berurusan secara langsung dengan pihak Jabatan Pembangunan Bandar MPKj dan kita masih membuat follow up sekerap mungkin agar jadual kerja kita tidak lari jauh.
Kami memohon sekiranya pihak tuan/puan mempunyai idea/kenalan/pendapat yang dapat diusulkan bagi mempercepatkan proses pengeluaran surat pengesahan tapak ini, silah beri pendapat di ruangan komen atau email kepada kami di alamat : surau.bayuparkville@gmail.com. Bantuan tuan/puan amatlah kami alu-alukan.
Insya Allah, para AJK dan mereka yang membantu akan berusaha sedaya upaya kami demi merealisasikan impian kita ini. Doa dipanjatkan kepada Ilahi agar kita diberi petunjuk di saat kita amat memerlukan ini.
Dalam Sahih Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Kedua-duanya adalah baik. Bersungguh-sungguhlah menuntut perkara yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan daripada Allah serta janganlah berasa lemah. Jika sesuatu menimpamu, janganlah berkata : ‘Kalau aku buat begini, pasti akan begini dan begini..’, tetapi katakanlah : Qaddarallahu ma sya’a fa’ala(Allah telahpun menetapkannya dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ itu membuka kerja syaitan’. - dipetik dari laman http://ilidalila.wordpress.com
Firman Allah (mafhumnya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk.
(Surah al-Baqarah, ayat 186) - dipetik dari laman http://haluanpemuda.blogspot.com/2010/06/doa-senjata-orang-mukmin-jangan-putus.html
Semoga berjumpa lagi di penulisan yang akan datang...
Wassalam
0 comments:
Post a Comment