Thursday 17 May 2012

Surat Pengesahan Tapak Surau Dari MPKj




Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T, kita telah pun menerima surat pengesahan tapak surau dari pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada hari Sabtu, 12 Mei 2012. 

Walaupun sedikit terlewat dari jadual kerja yang telah kita rancang, sekurang-kurangnya dengan ini kita boleh meneruskan usaha pembangunan surau BPV dengan langkah seterusnya.

Semoga Allah S.W.T akan terus mempermudahkan urusan kita semua.

Wassalam.




Friday 4 May 2012

Bertemu lagi....

Assalammualaikum w.b.t... 

Dengan izin Allah S.W.T, akhirnya diberi peluang kepada penulis untuk mengemaskini laman web surau BPV ini setelah hampir sebulan lebih penulis tidak berpeluang untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan usaha kita.

Dalam tempoh ini, penulis dan beberapa orang AJK terpaksa meluangkan sedikit masa, tenaga dan buah fikiran bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang mana jika difikirkan kembali merupakan dugaan dan ujian yang Allah S.W.T berikan kepada kita. Dugaan demi dugaan muncul di saat kita cuba mempercepatkan usaha membangunkan surau di taman perumahan kita tetapi kita hanya mampu merancang, Allah S.W.T jua yang menentukan segalanya.

Alhamdulillah, walaupun isu-isu berbangkit tersebut masih belum dapat diselesaikan 100% tetapi sekurang-kurangnya, usaha menyelesaikan masalah tersebut makin mendapat sokongan dan bantuan dari ramai pihak sepertimana sokongan yang diberikan kepada usaha pembinaan surau ini. Semoga Allah S.W.T jua yang membalas jasa tuan-tuan dan puan-puan.

Berbalik kepada usaha pembinaan surau BPV, buat masa ini kita telah lari dari jadual kerja asal yang telah ditetapkan. Kita masih menunggu surat pengesahan tapak surau dari pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) walaupun sudah beberapa kali kita membuat follow up dengan pihak yang berkaitan tentang surat pengesahan tapak tersebut. Buat masa ini, kita berurusan secara langsung dengan pihak Jabatan Pembangunan Bandar MPKj dan kita masih membuat follow up sekerap mungkin agar jadual kerja kita tidak lari jauh.

Kami memohon sekiranya pihak tuan/puan mempunyai idea/kenalan/pendapat yang dapat diusulkan bagi mempercepatkan proses pengeluaran surat pengesahan tapak ini, silah beri pendapat di ruangan komen atau email kepada kami di alamat : surau.bayuparkville@gmail.com. Bantuan tuan/puan amatlah kami alu-alukan.

Insya Allah, para AJK dan mereka yang membantu akan berusaha sedaya upaya kami demi merealisasikan impian kita ini. Doa dipanjatkan kepada Ilahi agar kita diberi petunjuk di saat kita amat memerlukan ini.


Dalam Sahih Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Kedua-duanya adalah baik. Bersungguh-sungguhlah menuntut perkara yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan daripada Allah serta janganlah berasa lemah. Jika sesuatu menimpamu, janganlah berkata : ‘Kalau aku buat begini, pasti akan begini dan begini..’, tetapi katakanlah : Qaddarallahu ma sya’a fa’ala(Allah telahpun menetapkannya dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ itu membuka kerja syaitan’. - dipetik dari laman http://ilidalila.wordpress.com


Firman Allah (mafhumnya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk.
(Surah al-Baqarah, ayat 186) -
dipetik dari laman 
http://haluanpemuda.blogspot.com/2010/06/doa-senjata-orang-mukmin-jangan-putus.html


Semoga berjumpa lagi di penulisan yang akan datang...


Wassalam

Tuesday 1 May 2012

Hubungi Kami



Sebarang pendapat, idea, pandangan dan makluman boleh lah dihantar secara bertulis ke alamat :

Pengerusi
Jawatankuasa Penaja Pembinaan Surau Bayu Parkville
d/a : 28-1, Jalan Balakong Jaya 23
Bayu Parkville, Taman Balakong Jaya
43300 Seri Kembangan 
Selangor

Atau emailkan ke : surau.bayuparkville@gmail.com

Untuk berhubung secara terus, sila hubungi :

En Akmal Bahri b Baharuddin : 017-3618281
En Mohd Ridzuan Ahmad : 017-3369869






Friday 23 March 2012

Terkini 23 Mac 2012 : Surat Pengesahan Tapak Surau Oleh Meridian Tower



Assalammualaikum W.B.T.

Alhamdulillah, Jawatankuasa Penaja telah menerima surat pengesahan tapak surau daripada Meridian Tower Sdn. Bhd. pada hari Isnin, 19 Mac 2012 yang lalu. 

Ucapan ribuan terima kasih diucapkan kepada Saudara Saiful yang banyak membantu dari menghantar permohonan sehinggalah mengambil surat MT tersebut. Semoga jasa Saudara Saiful dibalas dengan rahmat dan rezeki berganda daripada Allah S.W.T

Langkah seterusnya ialah menghantar surat permohonan pengesahan tapak daripada pihak Majlis Perbandaran Kajang. Surat permohonan ini telah dihantar pada pagi ini, Jumaat, 23 Mac 2012. Kita amat berharap agar pihak MPKj dapat mengeluarkan surat pengesahan tersebut secepat mungkin agar kita dapat menghantar kertas kerja pembinaan surau kepada pihak JAIS sama ada penghujung bulan ini atau sebelum pertengahan April 2012.

Walaupun agak lewat dari jadual kerja yang telah kita tetapkan tetapi pihak Jawatankuasa Penaja amat bersyukur kerana setakat ini tiada halangan besar yang ditempuhi di dalam merealisasikan usaha kita.

Jutaan terima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan dan doa tanpa rasa bosan dan putus asa. Insya Allah, kita yakin usaha ini akan berjaya

Sehingga bertemu lagi 


Wassalam


Saturday 10 March 2012

Perkembangan Terkini : Ahad, 10 Mac 2012

Assalammualaikum W.B.T

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi di atas kesempatan yang masih diberikanNya untuk kita terus bertemu dan berganding usaha di dalam merealisasikan usaha murni kita di dalam membangunkan sebuah surau di dalam kawasan perumahan kita ini. Semoga Allah SWT akan terus memberikan kita kekuatan, kelapangan dan petunjuk agar usaha kita akan mencapai kejayaan. Insya Allah.

Dikesempatan ini juga, penulis memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini perkembangan terbaru usaha-usaha yang telah dijalankan oleh jawatankuasa penaja kita. Insya Allah dalam masa terdekat ini, penulis akan upload minit-minit mesyuarat yang lepas, jadual kerja dan checklist milestones yang telah dicapai oleh saudara-saudara kita sebagai rujukan semua penduduk.



Berikut merupakan usaha-usaha terkini yang telah berjaya diselesaikan sehingga ke hari ini (tidak mengikut urutan tarikh) :

  1. Pertemuan kedua di antara wakil jawatankuasa penaja dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diadakan pada hari Khamis, 8 Mac 2012. Antara perkara penting yang dibincangkan termasuk : 

    • Usul menggabungkan kesemua surau kecil di kawasan Taman Balakong Jaya di bawah pentadbiran surau baru dipersetujui oleh JAIS
    • Pegawai JAIS menasihatkan agar pelan pembangunan surau baru mengambil kira aktiviti, keperluan dan perancangan untuk tempoh 5 - 10 tahun
    • JAIS memaklumkan mesyuarat pengurusan berkaitan pentadbiran surau dan masjid akan diadakan di dalam bulan April. Jika kertas kerja dapat dihantar sebelum akhir bulan Mac, maka usul surau baru di Bayu Parkville boleh dibawa dan dibentangkan di dalam mesyuarat pentadbiran tersebut
    • Sekiranya dirasakan perlu, jawatankuasa penaja boleh meminta bantuan JAIS di dalam proses perlantikan kontraktor setelah urusan permohonan bina dan permohonan kebenaran mengumpul dana selesai

  2. Pertemuan dengan wakil jawatankuasa pengurusan surau Al-Amin, Flat Sri Pulai dan surau At-Takwa, Flat Mutiara sebagai susulan kepada hasil mesyuarat perlantikan jawatankuasa penaja surau Bayu Parkville. Secara amnya, kesemua wakil bersetuju dengan hasrat menjadikan surau baru sebagai surau utama di kawasan Taman Balakong Jaya dan akan memberi sokongan padu kepada usaha ini.

  3. Mesyuarat pertama Jawatankuasa Penaja Surau @ Bayu Parkville telah diadakan pada 4 Mac 2012 bertempat di Surau At-Takwa. Mesyuarat telah dihadiri oleh wakil penduduk/surau Flat Sri Pulai, Flat Mutiara, Taman Balakong Jaya dan Bayu Parkville. Mesyuarat lebih tertumpu kepada langkah kerja seterusnya dan perbincangan lanjutan hasil mesyuarat lantikan jawatankuasa penaja

  4. Jawatankuasa penaja telah menghantar surat ke Meridian Tower Sdn. Bhd. memohon agar MT mengeluarkan surat pengesahan tapak surau seperti mana diarahkan oleh Majlis Perbandaran Kajang. Seterusnya, surat pengesahan ini akan dimajukan ke MPKJ bagi proses permohonan pewartaan tapak surau

  5. Kertas kerja sedang di dalam proses olahan semula bagi memastikan kesemua perkara yang telah dibincangkan akan dimasukkan untuk menguatkan lagi kertas kerja tersebut. Jawatankuasa penaja berharap kertas kerja ini dapat dihantar ke JAIS sebelum akhir bulan Mac. Ini turut bergantung kepada kelancaran perkara (4) di atas.

Setakat ini usaha kita berjalan lancar. Dimohon agar semua penduduk akan terus mendoakan kejayaan usaha ini demi menaikkan semangat Islam di Taman Balakong Jaya dan Bayu Parkville.


Sehingga pertemuan seterusnya.


Wassalam

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons