Sunday 26 February 2012

Mesyuarat Pertama


ASSALAMUALAIKUM WBT

Untuk makluman, semua penduduk Muslim di Bayu Parkville dengan ini dijemput menghadiri Mesyuarat Pertama Penubuhan Surau @ Bayu Parkville. Mesyuarat ini akan menjadi batu asas kepasa usaha seterusnya di dalam merealisasikan impian kita dalam membangunkan dan membina sebuah surau kekal di Bayu Parkville bagi kegunaan penduduk setempat dan kawasan-kawasan perumahan berdekatan termasuk Taman Balakong Jaya (bersebelahan Mydin) dan Flat Mutiara.

Mengikut prosedur yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), bagi tujuan melantik Ahli Jawatankuasa Bertindak, mesyuarat ini perlu dihadiri oleh sekurang-kurangnya 40 orang penduduk.  Oleh kerana itu marilah kita beramai-ramai menghadiri mesyuarat ini demi kebaikan bersama.


:: AGENDA MESYUARAT ::
  1. Ucapan Aluan 
  2. Penerangan Berkaitan Usaha Awal Yang Telah Dilaksanakan
      • Draf Kertas Kerja & Pelan Surau
      • Carta Alir Pembinaan Surau & Proses Yang Terlibat
  3. Perlantikan Jawatankuasa Bertindak Bagi Penubuhan Surau
  4. Sesi Soal Jawab Bersama Penduduk
  5. Jamuan Ringan (Sumbangan Makanan & Minuman / Potluck Dialu-alukan)
  6. BersuraI

Untuk maklumat lanjut atau bagi memberi cadangan / pendapat, sila hubungi :

  • TN. HJ. HASAN BASRI - 012-9324133
  • EN. AKMAL - 017-3618281
  • EN. SYAWAL - 016-6514001
  • EN. RIDZUAN - 017-3369869 

Saturday 25 February 2012

Marilah Kita Meriahkan Mesyuarat Pertama Surau




Assalamualaikum

Alhamdulillah, tinggal 3 hari lagi sebelum tarikh mesyuarat pertama penubuhan Surau @ Bayu Parkville. Adalah didoakan agar usaha ini mendapat keizinan dan barakah dari-Nya.

Pihak penaja ada menyatakan kegusaran jika mesyuarat itu tidak dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 40 orang penduduk sepertimana dikehendaki oleh JAIS tetapi Insya Allah, usaha yang baik ini selalunya akan berjaya. Tetapi sesungguhnya tiada kejayaan tanpa sebarang halangan dan cubaan. Itu sebagai ujian dari Allah untuk menguji kesabaran dan ketekunan hamba-Nya.

Untuk makluman semua, memandangkan mesyuarat akan diadakan di perkarangan Tadika PASTI, adalah digalakkan para penduduk membawa alas seperti tikar atau kain untuk dijadikan lapik duduk kerana pihak penaja tidak dapat menyediakan khemah dan kerusi.

Selain itu, jika ada yang ingin menyumbang serba sedikit makanan dan minuman, sesungguhnya ia amat dialu-alukan. Sedekah merupakan saham akhirat yang akan dibawa semasa hari perhitungan kelak.

Buat masa ini, penulis akan cuba memenuhi ruang laman web ini dengan maklumat terkini berkaitan surau dan juga semua maklumat dan dokumen-dokumen yang berkenaan untuk rujukan dan semakan penduduk BPV sekalian. Diharapkan, AJK yang akan mengambil alih pengurusan laman web ini kelak akan menggunakan laman web ini sepenuhnya seperti mana ditunjukkan oleh surau-surau rujukan kita seperti Surau As-Syakirin di Semenyih. AJK Surau As-Syakirin berusaha sedaya upaya untuk membuat keputusan dengan tulus dan bersih dengan memaparkan setiap dokumen penting seperti laporan kewangan pembinaan surau, senarai penderma, surat-surat pihak berkuasa dan sebagainya untuk rujukan masyarakat setempat di sana. Insya Allah, laman ini juga akan bergerak ke arah itu.

Insya Allah, berjumpa kita di mesyuarat tersebut.

Friday 24 February 2012

Santapan Rohani Siri 4

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda : “ Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani "

(Al-Bukhari)

Thursday 23 February 2012

Santapan Rohani Siri 3

Tuesday 21 February 2012

Santapan Rohani Siri 2

Lokasi Tapak Surau


:: PANDANGAN 1 ::


:: PANDANGAN 2 ::

Monday 20 February 2012

Jawatankuasa Bertindak Penubuhan Surau @ Bayu Parkville


Cadangan Carta Organisasi 
Jawatankuasa Bertindak Penubuhan Surau @ Bayu Parkville


Jawatankuasa Bertindak Penubuhan (JBP) Surau @ Bayu Parkville mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya 14 orang ahli jawatankuasa (AJK) yang dilantik di dalam mesyuarat pertama penubuhan surau selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Jawatankuasa ini merupakan organisasi bebas yang tidak terikat kepada mana-mana persatuan seperti persatuan penduduk, NGO dan sebagainya dan akan dipantau oleh JAIS dari masa ke semasa. Jawatankuasa ini akan mula berkuatkuasa dari tarikh lantikan sehinggalah pembinaan surau yang dirancang siap dibina dan digunakan sepenuhnya. Selepas tempoh tersebut, JBP akan dibubarkan dan surau baru tersebut akan ditadbir oleh Jawatankuasa Pengurusan Surau yang akan dilantik di dalam mesyuarat agung  yang pertama.

JBP Surau @ Bayu Parkville ini berperanan sebagai :
  • Pihak yang mewakili penduduk Bayu Parkville di dalam berurusan dengan pihak-pihak berkuasa termasuk JAIS dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ)
  • Bertanggungjawab di dalam memastikan segala proses permohonan dan dokumentasi dilaksanakan sebelum/semasa/selepas proses pembinaan surau dimulakan
  • Bertanggungjawab mengumpul, mengurus dan mentadbir dana yang dikumpul melalui wakil-wakil yang ditelah dicadangkan dan dipersetujui oleh JAIS
  • Mengeluar, menilai dan memilih tender bagi pembinaan surau dengan mengambil kira pendapat umum
  • Memantau dan mengawalselia projek pembinaan dari awal sehingga akhir demi memastikan ketepatan dan kesempurnaan seperti mana diamanahkan
  • Menganjur dan menguruskan proses pemilihan Jawatankuasa Pengurusan Surau setelah surau siap dibina dan mula digunakan

Santapan Rohani Siri 1


Sunday 19 February 2012

Ahlan Wa Sahlan..

Assalamualaikum wbt.








Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia. Ribuan syukur dipanjatkan kepada-Nya kerana atas izin-Nya, usaha awal ke arah pembinaan sebuah surau kekal di dalam perumahan Bayu Parkville dapat dimulakan.

Usaha pembinaan surau ini digerakkan atas kesedaran untuk mengukuhkan kembali semangat ukhuwah dan persaudaraan di kalangan penduduk Muslim di Bayu Parkville. Ini dapat dicapai kerana selain berfungsi sebagai rumah ibadah, surau yang dicadangkan ini mampu berperanan sebagai pusat aktiviti sosial yang dapat mengumpulkan penduduk setempat sama ada muda atau tua, lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak.

Ramai yang menganggap surau hanya sesuai dijadikan sebagai pusat keagamaan menerusi pengisian solat 5 waktu sehari semalam, kuliah agama, ceramah dan tazkirah dan pusat pengajian kitab dan Al-Quran. Tetapi jika dirujuk kembali kepada zaman kegemilangan pentadbiran Islam di dunia, surau atau masjid turut berperanan sebagai :

  1. Lokasi pertemuan cendiakawan untuk berbincang dan bertukar pendapat
  2. Pusat rujukan masyarakat setempat di dalam menyelesaikan masalah kehidupan harian
  3. Tempat rekreasi dan berehat
  4. Pusat sehenti bagi aktiviti sosial dan kemasyarakatan dan sebagainya.
Ini membuktikan surau mampu membawa masyarakat setempat untuk kembali mengenali maksud perpaduan dan persaudaraan biar sejauh mana pun terpisah mereka pada ketika ini.

Dengan rendah diri sebagai hamba yang dijadikan-Nya, kita berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar usaha kita ini mampu direalisasikan dan dilaksanakan dengan sempurna. Pasti akan ada halangan yang tiba tetapi dengan sokongan dan bantuan semua pihak yang sedar akan kepentingan surau ini, Insya Allah kita semua mampu menghadapinya dengan mudah.

Selamat datang sekali lagi ke laman web Surau @ Bayu Parkville. Semoga laman ini dapat memberi maklumat dan gambaran sebenar akan usaha yang dijalankan ini. 

Sehingga bertemu lagi.

Assalamualaikum

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons