Assalamualaikum wbt.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia. Ribuan syukur dipanjatkan kepada-Nya kerana atas izin-Nya, usaha awal ke arah pembinaan sebuah surau kekal di dalam perumahan Bayu Parkville dapat dimulakan.
Usaha pembinaan surau ini digerakkan atas kesedaran untuk mengukuhkan kembali semangat ukhuwah dan persaudaraan di kalangan penduduk Muslim di Bayu Parkville. Ini dapat dicapai kerana selain berfungsi sebagai rumah ibadah, surau yang dicadangkan ini mampu berperanan sebagai pusat aktiviti sosial yang dapat mengumpulkan penduduk setempat sama ada muda atau tua, lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak.
Ramai yang menganggap surau hanya sesuai dijadikan sebagai pusat keagamaan menerusi pengisian solat 5 waktu sehari semalam, kuliah agama, ceramah dan tazkirah dan pusat pengajian kitab dan Al-Quran. Tetapi jika dirujuk kembali kepada zaman kegemilangan pentadbiran Islam di dunia, surau atau masjid turut berperanan sebagai :
- Lokasi pertemuan cendiakawan untuk berbincang dan bertukar pendapat
- Pusat rujukan masyarakat setempat di dalam menyelesaikan masalah kehidupan harian
- Tempat rekreasi dan berehat
- Pusat sehenti bagi aktiviti sosial dan kemasyarakatan dan sebagainya.
Ini membuktikan surau mampu membawa masyarakat setempat untuk kembali mengenali maksud perpaduan dan persaudaraan biar sejauh mana pun terpisah mereka pada ketika ini.
Dengan rendah diri sebagai hamba yang dijadikan-Nya, kita berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar usaha kita ini mampu direalisasikan dan dilaksanakan dengan sempurna. Pasti akan ada halangan yang tiba tetapi dengan sokongan dan bantuan semua pihak yang sedar akan kepentingan surau ini, Insya Allah kita semua mampu menghadapinya dengan mudah.
Selamat datang sekali lagi ke laman web Surau @ Bayu Parkville. Semoga laman ini dapat memberi maklumat dan gambaran sebenar akan usaha yang dijalankan ini.
Sehingga bertemu lagi.
Assalamualaikum
0 comments:
Post a Comment