Friday 23 March 2012

Terkini 23 Mac 2012 : Surat Pengesahan Tapak Surau Oleh Meridian Tower



Assalammualaikum W.B.T.

Alhamdulillah, Jawatankuasa Penaja telah menerima surat pengesahan tapak surau daripada Meridian Tower Sdn. Bhd. pada hari Isnin, 19 Mac 2012 yang lalu. 

Ucapan ribuan terima kasih diucapkan kepada Saudara Saiful yang banyak membantu dari menghantar permohonan sehinggalah mengambil surat MT tersebut. Semoga jasa Saudara Saiful dibalas dengan rahmat dan rezeki berganda daripada Allah S.W.T

Langkah seterusnya ialah menghantar surat permohonan pengesahan tapak daripada pihak Majlis Perbandaran Kajang. Surat permohonan ini telah dihantar pada pagi ini, Jumaat, 23 Mac 2012. Kita amat berharap agar pihak MPKj dapat mengeluarkan surat pengesahan tersebut secepat mungkin agar kita dapat menghantar kertas kerja pembinaan surau kepada pihak JAIS sama ada penghujung bulan ini atau sebelum pertengahan April 2012.

Walaupun agak lewat dari jadual kerja yang telah kita tetapkan tetapi pihak Jawatankuasa Penaja amat bersyukur kerana setakat ini tiada halangan besar yang ditempuhi di dalam merealisasikan usaha kita.

Jutaan terima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan dan doa tanpa rasa bosan dan putus asa. Insya Allah, kita yakin usaha ini akan berjaya

Sehingga bertemu lagi 


Wassalam


Saturday 10 March 2012

Perkembangan Terkini : Ahad, 10 Mac 2012

Assalammualaikum W.B.T

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi di atas kesempatan yang masih diberikanNya untuk kita terus bertemu dan berganding usaha di dalam merealisasikan usaha murni kita di dalam membangunkan sebuah surau di dalam kawasan perumahan kita ini. Semoga Allah SWT akan terus memberikan kita kekuatan, kelapangan dan petunjuk agar usaha kita akan mencapai kejayaan. Insya Allah.

Dikesempatan ini juga, penulis memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini perkembangan terbaru usaha-usaha yang telah dijalankan oleh jawatankuasa penaja kita. Insya Allah dalam masa terdekat ini, penulis akan upload minit-minit mesyuarat yang lepas, jadual kerja dan checklist milestones yang telah dicapai oleh saudara-saudara kita sebagai rujukan semua penduduk.



Berikut merupakan usaha-usaha terkini yang telah berjaya diselesaikan sehingga ke hari ini (tidak mengikut urutan tarikh) :

  1. Pertemuan kedua di antara wakil jawatankuasa penaja dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diadakan pada hari Khamis, 8 Mac 2012. Antara perkara penting yang dibincangkan termasuk : 

    • Usul menggabungkan kesemua surau kecil di kawasan Taman Balakong Jaya di bawah pentadbiran surau baru dipersetujui oleh JAIS
    • Pegawai JAIS menasihatkan agar pelan pembangunan surau baru mengambil kira aktiviti, keperluan dan perancangan untuk tempoh 5 - 10 tahun
    • JAIS memaklumkan mesyuarat pengurusan berkaitan pentadbiran surau dan masjid akan diadakan di dalam bulan April. Jika kertas kerja dapat dihantar sebelum akhir bulan Mac, maka usul surau baru di Bayu Parkville boleh dibawa dan dibentangkan di dalam mesyuarat pentadbiran tersebut
    • Sekiranya dirasakan perlu, jawatankuasa penaja boleh meminta bantuan JAIS di dalam proses perlantikan kontraktor setelah urusan permohonan bina dan permohonan kebenaran mengumpul dana selesai

  2. Pertemuan dengan wakil jawatankuasa pengurusan surau Al-Amin, Flat Sri Pulai dan surau At-Takwa, Flat Mutiara sebagai susulan kepada hasil mesyuarat perlantikan jawatankuasa penaja surau Bayu Parkville. Secara amnya, kesemua wakil bersetuju dengan hasrat menjadikan surau baru sebagai surau utama di kawasan Taman Balakong Jaya dan akan memberi sokongan padu kepada usaha ini.

  3. Mesyuarat pertama Jawatankuasa Penaja Surau @ Bayu Parkville telah diadakan pada 4 Mac 2012 bertempat di Surau At-Takwa. Mesyuarat telah dihadiri oleh wakil penduduk/surau Flat Sri Pulai, Flat Mutiara, Taman Balakong Jaya dan Bayu Parkville. Mesyuarat lebih tertumpu kepada langkah kerja seterusnya dan perbincangan lanjutan hasil mesyuarat lantikan jawatankuasa penaja

  4. Jawatankuasa penaja telah menghantar surat ke Meridian Tower Sdn. Bhd. memohon agar MT mengeluarkan surat pengesahan tapak surau seperti mana diarahkan oleh Majlis Perbandaran Kajang. Seterusnya, surat pengesahan ini akan dimajukan ke MPKJ bagi proses permohonan pewartaan tapak surau

  5. Kertas kerja sedang di dalam proses olahan semula bagi memastikan kesemua perkara yang telah dibincangkan akan dimasukkan untuk menguatkan lagi kertas kerja tersebut. Jawatankuasa penaja berharap kertas kerja ini dapat dihantar ke JAIS sebelum akhir bulan Mac. Ini turut bergantung kepada kelancaran perkara (4) di atas.

Setakat ini usaha kita berjalan lancar. Dimohon agar semua penduduk akan terus mendoakan kejayaan usaha ini demi menaikkan semangat Islam di Taman Balakong Jaya dan Bayu Parkville.


Sehingga pertemuan seterusnya.


Wassalam

Friday 9 March 2012

Hasil Mesyuarat Penerangan & Perlantikan J/Kuasa Penaja Pembinaan Surau @ Taman Balakong Jaya


Mesyuarat  Penerangan & Perlantikan J/Kuasa Penaja Pembinaan Surau @ Taman Balakong Jaya telah berjaya dilaksanakan pada hari Ahad, 26 Februari 2012, 5.00 petang bertempat di Tadika PASTI, Bayu Parkville. Alhamdulillah, mesyuarat ini telah dihadiri oleh 50 orang penduduk dan ini memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).


Berikut merupakan hasil mesyuarat yang telah dipersetujui oleh para hadirin :

  1. Surau baru akan berada di bawah kariah Masjid Tan Ming Jaya
  2. Surau yang dibina akan menjadi mercu tanda Taman Balakong Jaya dan akan dikongsi bersama dengan penduduk di Bayu Parkville, Flat Sri Pulai, Bayu Courtyard, Flat Jati, Flat Mutiara dan Taman Balakong Jaya
  3. Jawatankuasa Penaja Pembinaan Surau @ Tmn Balakong Jaya akan dianggotai oleh wakil-wakil dari perumahan yang disebutkan di atas dan ketuai oleh wakil penduduk Bayu Parkville
  4. Satu bancian yang meliputi kesemua kawasan perumahan di atas akan dilaksanakan sebelum kertas kerja pembinaan surau dihantar ke JAIS. Bancian ini akan menjadi bukti perpaduan penduduk Taman Balakong Jaya dan pentingnya untuk sebuah surau utama didirikan sebagai pusat perpaduan penduduk
  5. Setelah surau baru siap dibina, kesemua surau-surau kecil di kawasan perumahan yang disebutkan akan ditutup dan disatukan di bawah pengurusan surau yang baru
  6. Surau baru akan sentiasa diimarahkan secara istiqamah melalui komitmen dan keikhlasan penduduk
  7. Nama bagi surau baru akan ditentukan kemudian.



Ahli Jawatankuasa Penaja Pembinaan Surau @ Taman Balakong Jaya

  • Wakil Perumahan Bayu Parkville 
    • Tn Hj Hasan Basri (Penasihat)
    • Saudara Akmal Bahri Baharuddin (Blok F)
    • Saudara Saiful (Blok F)
    • Saudara Suhaili Mohamed (Blok F)
    • Saudara Syawal (Blok F)
    • Saudara Ridzuan (Blok I)
    • Saudara Zairi (Blok H)
    • Saudara Syahrin (Blok H)
    • Saudara Zairin (Blok H)
    • Saudara Najib (Blok E)
    • Saudara Zakaria Othman (Blok F)
  • Wakil Perumahan Flat Mutiara
    • Tn Hj Hasan 
    • Saudara Saiful Azuar
  • Wakil Perumahan Taman Balakong Jaya
    • Saudara Kamal 
  • Wakil Perumahan Flat Sri Pulai
    • Imam Hj Razali b Hj Dali
  1. Wakil Perumahan Bayu Courtyard - masih belum ditentukan
  2. Wakil Perumahan Flat Jati - masih belum ditentukan


Monday 5 March 2012

Santapan Rohani Siri 5 : Dinamik Dalam Solat




Marilah kita meningkatkan dinamika solat kita agar ia tidak hanya menjadi satu rutin biasa 

Amin

Thursday 1 March 2012

Alhamdulillah.. Mesyuarat Berjalan Lancar

Assalammualaikum kepada semua. 

Alhamdulillah, pada hari Ahad, 26 Februari 2012 yang lepas, mesyuarat perlantikan Jawatankuasa Penaja Penubuhan Surau @ Bayu Parkville telah berjaya dilaksanakan. Seramai 50 orang penduduk telah sudi meluangkan masa dan menghadiri mesyuarat yang menjadi titik mula usaha kita di dalam menubuhkan surau di perumahan Bayu Parkville.

Mesyuarat ini juka diserikan dengan kehadiran Yg. Bhg. Ustaz Hj. Rais bin Hj. Zam Zam, Jurunikah Bahagian Tan Ming Jaya. Yg. Bhg. Ustaz Rais merupakan penduduk terawal di Taman Balakong Jaya dan merupakan penasihat kepada surau-surau yang berada di persekitaran Taman Balakong Jaya termasuklah Surau At-Takwa Flat Mutiara, Surau Al-Iman Taman Putra Budiman dan surau Flat Sri Pulai. Beliau telah menerangkan secara mendalam akan usaha yang telah dijalankan semenjak tahun 2000 agar sebuah surau utama dibangunkan bagi menyatukan kesemua surau-surau kecil ini. Beliau amat gembira di atas usaha yang telah dijalankan dan berharap usaha ini merupakan kesinambungan kepada usaha beliau dan saudara-saudara yang dahulu. Beliau berjanji akan memberi 100 peratus sokongan di atas usaha ini. Penerangan yang lebih mendalam berkaitan nasihat beliau akan ditulis di dalam tulisan seterusnya.

Pihak penganjur mesyuarat dengan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penduduk yang hadir dan juga kepada mereka yang telah menyumbangkan makanan, minuman, tikar dan pelbagai kelengkapan lain bagi menjayakan mesyuarat ini. Walaupun hujan turun dengan lebatnya di hujung mesyuarat, para hadirin masih sudi untuk meneruskan agenda mesyuarat dan seterusnya beramah mesra antara satu sama lain semasa sesi jamuan ringan. 

Dengan rasa rendah diri, pihak penganjur menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas segala kekurangan yang timbul sepanjang tempoh mesyuarat diadakan. Insya Allah, komitmen dan amanah yang berikan oleh para hadirin akan dijalankan dengan sepenuh hati dan semoga Allah merahmati dan meringankan usaha kita ini.

Disertakan gambar-gambar yang sempat diambil sepanjang mesyuarat. 

Terima kasih sekali lagi buat semua



Hadirin yang terawal hadir

Sebelum mesyuarat bermula

Ucapan penerangan oleh Saudara Akmal Bahri, wakil penganjur mesyuarat

Barisan muslimah yang hadir

Yg. Bhg. Ustaz Hj Rais b Hj Zam Zam, Jurudaftar Nikah Masjid Tan Ming Jaya

Sesi jamuan 

Sesi jamuan


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons