Saturday 10 March 2012

Perkembangan Terkini : Ahad, 10 Mac 2012

Assalammualaikum W.B.T

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi di atas kesempatan yang masih diberikanNya untuk kita terus bertemu dan berganding usaha di dalam merealisasikan usaha murni kita di dalam membangunkan sebuah surau di dalam kawasan perumahan kita ini. Semoga Allah SWT akan terus memberikan kita kekuatan, kelapangan dan petunjuk agar usaha kita akan mencapai kejayaan. Insya Allah.

Dikesempatan ini juga, penulis memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini perkembangan terbaru usaha-usaha yang telah dijalankan oleh jawatankuasa penaja kita. Insya Allah dalam masa terdekat ini, penulis akan upload minit-minit mesyuarat yang lepas, jadual kerja dan checklist milestones yang telah dicapai oleh saudara-saudara kita sebagai rujukan semua penduduk.



Berikut merupakan usaha-usaha terkini yang telah berjaya diselesaikan sehingga ke hari ini (tidak mengikut urutan tarikh) :

  1. Pertemuan kedua di antara wakil jawatankuasa penaja dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diadakan pada hari Khamis, 8 Mac 2012. Antara perkara penting yang dibincangkan termasuk : 

    • Usul menggabungkan kesemua surau kecil di kawasan Taman Balakong Jaya di bawah pentadbiran surau baru dipersetujui oleh JAIS
    • Pegawai JAIS menasihatkan agar pelan pembangunan surau baru mengambil kira aktiviti, keperluan dan perancangan untuk tempoh 5 - 10 tahun
    • JAIS memaklumkan mesyuarat pengurusan berkaitan pentadbiran surau dan masjid akan diadakan di dalam bulan April. Jika kertas kerja dapat dihantar sebelum akhir bulan Mac, maka usul surau baru di Bayu Parkville boleh dibawa dan dibentangkan di dalam mesyuarat pentadbiran tersebut
    • Sekiranya dirasakan perlu, jawatankuasa penaja boleh meminta bantuan JAIS di dalam proses perlantikan kontraktor setelah urusan permohonan bina dan permohonan kebenaran mengumpul dana selesai

  2. Pertemuan dengan wakil jawatankuasa pengurusan surau Al-Amin, Flat Sri Pulai dan surau At-Takwa, Flat Mutiara sebagai susulan kepada hasil mesyuarat perlantikan jawatankuasa penaja surau Bayu Parkville. Secara amnya, kesemua wakil bersetuju dengan hasrat menjadikan surau baru sebagai surau utama di kawasan Taman Balakong Jaya dan akan memberi sokongan padu kepada usaha ini.

  3. Mesyuarat pertama Jawatankuasa Penaja Surau @ Bayu Parkville telah diadakan pada 4 Mac 2012 bertempat di Surau At-Takwa. Mesyuarat telah dihadiri oleh wakil penduduk/surau Flat Sri Pulai, Flat Mutiara, Taman Balakong Jaya dan Bayu Parkville. Mesyuarat lebih tertumpu kepada langkah kerja seterusnya dan perbincangan lanjutan hasil mesyuarat lantikan jawatankuasa penaja

  4. Jawatankuasa penaja telah menghantar surat ke Meridian Tower Sdn. Bhd. memohon agar MT mengeluarkan surat pengesahan tapak surau seperti mana diarahkan oleh Majlis Perbandaran Kajang. Seterusnya, surat pengesahan ini akan dimajukan ke MPKJ bagi proses permohonan pewartaan tapak surau

  5. Kertas kerja sedang di dalam proses olahan semula bagi memastikan kesemua perkara yang telah dibincangkan akan dimasukkan untuk menguatkan lagi kertas kerja tersebut. Jawatankuasa penaja berharap kertas kerja ini dapat dihantar ke JAIS sebelum akhir bulan Mac. Ini turut bergantung kepada kelancaran perkara (4) di atas.

Setakat ini usaha kita berjalan lancar. Dimohon agar semua penduduk akan terus mendoakan kejayaan usaha ini demi menaikkan semangat Islam di Taman Balakong Jaya dan Bayu Parkville.


Sehingga pertemuan seterusnya.


Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons