Assalamualaikum
Alhamdulillah, tinggal 3 hari lagi sebelum tarikh mesyuarat pertama penubuhan Surau @ Bayu Parkville. Adalah didoakan agar usaha ini mendapat keizinan dan barakah dari-Nya.
Pihak penaja ada menyatakan kegusaran jika mesyuarat itu tidak dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 40 orang penduduk sepertimana dikehendaki oleh JAIS tetapi Insya Allah, usaha yang baik ini selalunya akan berjaya. Tetapi sesungguhnya tiada kejayaan tanpa sebarang halangan dan cubaan. Itu sebagai ujian dari Allah untuk menguji kesabaran dan ketekunan hamba-Nya.
Untuk makluman semua, memandangkan mesyuarat akan diadakan di perkarangan Tadika PASTI, adalah digalakkan para penduduk membawa alas seperti tikar atau kain untuk dijadikan lapik duduk kerana pihak penaja tidak dapat menyediakan khemah dan kerusi.
Selain itu, jika ada yang ingin menyumbang serba sedikit makanan dan minuman, sesungguhnya ia amat dialu-alukan. Sedekah merupakan saham akhirat yang akan dibawa semasa hari perhitungan kelak.
Buat masa ini, penulis akan cuba memenuhi ruang laman web ini dengan maklumat terkini berkaitan surau dan juga semua maklumat dan dokumen-dokumen yang berkenaan untuk rujukan dan semakan penduduk BPV sekalian. Diharapkan, AJK yang akan mengambil alih pengurusan laman web ini kelak akan menggunakan laman web ini sepenuhnya seperti mana ditunjukkan oleh surau-surau rujukan kita seperti Surau As-Syakirin di Semenyih. AJK Surau As-Syakirin berusaha sedaya upaya untuk membuat keputusan dengan tulus dan bersih dengan memaparkan setiap dokumen penting seperti laporan kewangan pembinaan surau, senarai penderma, surat-surat pihak berkuasa dan sebagainya untuk rujukan masyarakat setempat di sana. Insya Allah, laman ini juga akan bergerak ke arah itu.
Insya Allah, berjumpa kita di mesyuarat tersebut.
0 comments:
Post a Comment